
اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكَاتُهُ , Salam Malaysia Madani dan Salam Perak Sejahtera 2030.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) terus melangkah ke hadapan sebagai institusi ilmu yang relevan, inklusif dan berdaya saing dalam landskap perkhidmatan awam yang semakin mencabar dan dinamik.
Dalam era pendigitalan yang pesat serta kemunculan teknologi baharu seperti Data Raya (Big Data) dan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence-AI), perpustakaan awam tidak lagi berfungsi semata-mata sebagai gedung koleksi bahan bacaan, malah berkembang sebagai hab pembelajaran sepanjang hayat, pusat akses maklumat digital dan pemangkin literasi maklumat masyarakat.
Sejajar dengan agenda Transformasi Digital Perkhidmatan Awam, PPANPk menumpukan usaha kepada pemodenan sistem penyampaian perkhidmatan melalui pendigitalan koleksi serta penggunaan platform digital. Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan perkhidmatan, malah menyokong agenda pendigitalan sektor awam Negeri Perak bagi membolehkan keputusan yang lebih tepat, pantas dan berpandukan dapat data dilaksanakan.
Dalam masa yang sama, potensi AI diteroka secara berhemah sebagai alat sokongan untuk meningkatkan kecekapan operasi, pengurusan maklumat dan pengalaman pengguna, tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan, etika dan keterangkuman yang menjadi teras perkhidmatan perpustakaan awam.
Transformasi teknologi ini tidak akan berjaya tanpa pemerkasaan budaya kerja dan keupayaan pentadbiran dalam organisasi. Justeru, PPANPk komited untuk membudayakan nilai profesionalisme, inovasi, integriti dan pembelajaran berterusan dalam kalangan warga kerja. Usaha memperkukuh kompetensi digital, kepimpinan dan tadbir urus yang baik terus diperkasa agar organisasi sentiasa bersedia menghadapi perubahan dan cabaran pada masa hadapan.
Saya mewakili Ahli Lembaga Pengarah PPANPk yakin bahawa gabungan teknologi, data, bakat serta budaya kerja yang progresif akan memperkukuh peranan PPANPk sebagai institusi awam yang diyakini, relevan dan memberi impak bermakna kepada pembangunan modal insan serta kesejahteraan masyarakat Negeri Perak.
Akhir kata, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak, Ahli Lembaga Pengarah PPANPk, pihak pengurusan PPANPk, seluruh warga perpustakaan serta rakan strategik atas komitmen dan dedikasi berterusan dalam menjayakan agenda transformasi ini. Semoga segala usaha yang dilaksanakan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan perkhidmatan perpustakaan awam, demi generasi kini dan akan datang. Insya-Allah, dengan sokongan semua pihak, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak akan terus menjadi antara pemangkin penting ke arah merealisasikan Perak yang sejahtera dan mampan menjelang tahun 2030.
Sekian, terima kasih.
YB Dato' Khairudin bin Abu Hanipah
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia Dan Sukan Negeri Perak
merangkap
Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak.