BAZAR BUKU PERAK 2024
IPOH, 1 Ogos 2024- Majlis Perasmian Bazar Buku Perak 2024 telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad di Ipoh Convention Centre (ICC). Bazar Buku Perak yang telah memuka tirainya bermula 1 Ogos 2024 hingga 4 Ogos 2024 ini akan menjadi “One Stop Centre” terhadap industri perbukuan negara, bukan hanya dari aspek komersial tetapi juga meningkatkan tabiat cintakan membaca di kalangan masyarakat dan sekali gus menghimpunkan pencinta buku, penulis, penerbit, dan pembaca dari pelbagai latar belakang dan kaum bermula dari jam 9 pagi hingga 10 malam
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata di dalam ucapan perasmian beliau, tema Bazar Buku Perak 2024, "Perak Membaca, Rakyat Sejahtera", adalah cerminan aspirasi kita untuk membina masyarakat yang berilmu dan sejahtera. Tema ini sangat relevan dan penting dalam konteks hala tuju negeri Perak bagi memupuk budaya membaca dikalangan masyarakat.
Majlis ini diserikan dengan persembahan tarian dabus daripada SK Tanjung Bidara dan persembahan selamat datang daripada Kumpulan Selendang Perak. Sejurus selesai YAB Menteri Besar berkesempatan melawat reruai pempamer dan beramah mesra dengan pengunjung yang hadir.
Sepajang berlangsungnya Bazar Buku Perak, sebanyak 70 reruai yang terdiri daripada 69 pempamer tempatan dan satu pempamer dari Indonesia. Kepelbagaian genre koleksi terkini dan program yang menarik disediakan untuk pengunjung yang hadir
Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri (PPANPk), Tuan Khairudin bin Abu Hanipah; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman yang mewakili YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; Datuk Bandar Ipoh, YBhg. Dato' Haji Rumaizi bin Baharin@Md Daud dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Puan Rafidah binti Abdul Aziz.