ISTERI YAB MENTERI BESAR PERAK DARUL RIDZUAN, SEMPURNAKAN MAJLIS PERASMIAN FESTIVAL SASTERA DAN SENI KANAK-KANAK NEGERI PERAK@PPANPk
IPOH, 8 DISEMBER 2023- YABhg. Datin Seri Aezer bin Zubin, Isteri YAB Menteri Besar Perak Darul Ridzuan hadir bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Sastera dan Seni Kanak-kanak Negeri Perak@PPANPk.
YABhg. Datin Seri Aezer bin Zubin dalam ucapannya beliau berkata “penganjuran Festival Sastera dan Seni Kanak-kanak Negeri Perak@PPANPk yang julung kali diadakan di Perbadanan Perpustakaan Negeri Perak mampu membentuk pembangunan jati diri, perpaduan, pendidikan, sosial dan pembelajaran sepanjang hayat dari peringkat awal kanak-kanak yang merupakan pelapis kepimpinan negara dan bangsa pada masa akan datang.
“Festival ini juga sabagai elemen penting untuk menyokong Sasaran Perak Sejahtera 2030 iaitu Sosial dengan Tema Keberhasilan: Pendidikan serta Seni Budaya dan Warisan,” katanya semasa memberi ucapan perasmian tersebut.
Sejurus selesai, YABhg. Datin Seri Aezer juga berkesempatan melawat tapak pameran dan aktiviti yang sedang berlangsung di antaranya, reruai Didik Hibur bersama UPSI, reruai program Mahasiswa dan Mahasiswi UiTM, Zoo Haiwan Jinak, reruai jualan buku kanak-kanak, demonstrasi kraftangan Perak, Pameran dan Demo Pembuatan Wau, serta sesi bercerita di Zon Pintar Kanak-kanak.
Festival yang berlangsung selama dua hari ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik dan berilmiah serta mampu menarik tumpuan ribuan pengunjung kanak-kanak, remaja, ibu bapa, pendidik dan orang awam ke perpustakaan.
Majlis ini telah dihadiri seramai 300 orang peserta dari kalangan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak; Ketua-ketua Jabatan dan Agensi; Pengarah-pengarah Perpustakaan Se-Malaysia; pensyarah dan mahasiswa/siswi dari IPTA/IPTS; guru-guru, pelajar sekolah dan rakan media.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Yang Berbahagia Dato’ Mohamad Fauzi bin Mahson, dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Puan Rafidah binti Abdul Aziz.