PROGRAM “LIBRARIES UNITE US@PPANPk” PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM NEGERI PERAK
IPOH, 14 JANUARI 2023 – Hasil kolaborasi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak bersama Kolej Pengajian Pengkomputeran Informatik Dan Media, UiTM, Kampus Puncak Perdana, Shah Alam telah menjayakan Program “Libraries Unite Us@PPANPk” bertempat di Perpustakaan Awam Negeri Perak. Lebih 20 aktiviti telah dilaksanakan bermula 9.30 pagi hingga 5.00 petang dan penyertaaan terbuka kepada pengunjung perpustakaan. Menariknya program ini kerana melibatkan seramai 200 orang mahasiswa dan mahasiswi di bawah seliaan 7 orang pensyarah.
Slot Bual Bicara Warisan Negeri Perak menjadi pembuka program di mana ianya membincangkan topik berkaitan Rebana Perak dan Lagu Asli Negeri Perak. Program dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti yang menarik di luar dan dalam bangunan Perpustakaan Awam Negeri untuk pengunjung yang hadir. Pada hari tersebut juga diadakan pertandingan Little Free Library yang direkacipta oleh 5 kumpulan mahasiswa dan mahasiswi.
Program “Libraries Unite Us@PPANPk” bertujuan untuk menyokong agenda Kerajaan Negeri Perak Ke Arah Mensejahterakan Rakyat melalui Pelan Sejahtera 2030 serta menjadikan perpustakaan sebagai agen perpaduan di kalangan komuniti negeri Perak.
Program ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan Dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, YB Encik Loh Tze Yee. Turut hadir adalah Prof. Madya Khir Johari Bin Abdullah Sani, Ketua Pengajian (Sains Maklumat) Kolej Pengajian Pengkomputeran Informatik Dan Media, Universiti Teknologi Mara, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan, ketua/ wakil jabatan negeri perak serta agensi media.
Sejurus selesai YB Encik Loh Tze Yee juga berkesempatan melawat Pameran Warisan Perak dan aktiviti-aktiviti yang sedang berlangsung di Perpustakaan Awam Negeri.